Berita Trending

Trending

Wednesday, 14 May 2014

300 CABIN CREW MAS LETAK JAWATAN AKIBAT TRAGEDI MH370







PETALING JAYA: Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang menanggung beban akibat tragedi MH370 kini berdepan masalah dalaman serius apabila hampir 300 kru kabinnya meletak jawatan menyebabkan syarikat kerugian dari segi kos latihan mencecah RM30 juta dalam tempoh dua tahun.



Faktor tekanan kerja, selain 'dipancing' syarikat penerbangan lain antara yang mendorong kira-kira 120 juruteknik pesawat, jurutera (40), pramugari dan pramugara (80) dan 30 juruterbang menamatkan perkhidmatan mereka di syarikat berkenaan.



Kebiasaannya, tindakan meletak jawatan itu berlaku apabila kru kabin selesai menjalani latihan yang dibiayai sepenuhnya syarikat yang dikatakan semakin kurang memberi tumpuan terhadap kebajikan kakitangan sejak tiga tahun lalu.



Sumber memberitahu mStar Online, sudah beberapa tahun syarikat gagal memberi bonus, keistimewaan kakitangan mendapat tiket penerbangan untuk bercuti bersama keluarga juga terhapus, selain beban tugas yang meningkat kerana kekurangan kakitangan.



"Pelbagai faktor ini menyebabkan kakitangan semakin tidak bersemangat untuk terus berkhidmat dengan syarikat hingga sejumlah besarnya berhenti tanpa mengambil kira sumbangan syarikat yang membiayai sepenuhnya latihan bagi mendapat tauliah Jabatan Penerbangan Awam (DCA).



"Setiap kali kakitangan terbabit akan menamatkan latihan, sudah ada tawaran kerja daripada syarikat penerbangan lain dengan kadar gaji lebih tinggi, ia seolah-olah ada sindiket yang memerhati setiap kakitangan MAS dan menunggu masa sesuai untuk 'memancing' mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online.



Maklumat yang diperoleh menunjukkan MAS memperuntukan sejumlah dana yang besar untuk program latihan kakitangannya iaitu RM200,000 untuk setiap juruterbang MAS yang wajib menjalani latihan selama dua tahun dan RM190,000 pula kos bagi melatih jurutera penerbangan untuk tempoh latihan lima tahun.



Selain itu, kos latihan selama dua tahun untuk setiap juruteknik pula sebanyak RM75,000, manakala bagi pramugari dan pramugara pula tempoh latihan sepanjang empat bulan membabitkan perbelanjaan RM50,000 seorang.



Sumber itu berkata, sebagai syarikat penerbangan nasional, setiap tenaga pakar MAS 'ada harga' di pasaran industri penerbangan, sama ada di dalam atau luar negara.



"Siapa nak kerja dengan MAS kalau ada syarikat yang tawarkan gaji lebih RM30,000 sebulan bagi jurutera berpengalaman antara tujuh hingga 10 tahun dan ada juga juruteknik yang ditawarkan RM8,000 sebulan berbanding hanya RM3,000 di MAS," katanya.



Ditanya sama ada tragedi MH370 memberi kesan terhadap kakitangan syarikat itu, sumber itu berkata, ia menambah kesengsaraan mereka kerana tentunya syarikat yang menanggung rugi RM1.7 bilion sebelum ini akan berada dalam situasi lebih parah.



"Kalau bukan kerana MH370 pun semangat kerja kakitangan MAS sudah luntur sejak tiga tahun ini," katanya.



Menurut sumber itu lagi, jadual kerja kru kabin yang membebankan memaksa mereka bekerja untuk tempoh lama termasuk melalui penerbangan antarabangsa dan disambung dengan tugasan domestik sebelum dibenarkan bercuti.



"Situasi ini menyebabkan kru kabin tertekan daripada segi mental terutama apabila terpaksa berpisah lama dengan keluarga," katanya.



Bagaimanapun, pengurusan MAS tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen. - mStar

No comments:

Post a Comment