Hukum Wanita Dalam Haid Masuk Dalam Masjid | Semua sedia maklum, wanita yang haid tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid. Bagaimanapun, terdapat juga wanita yang tidak mengendahkan saranan tersebut terutamanya ketika ingin menyaksikan majlis akad nikah dengan alasan darah haid tinggal sedikit dan hampir kering. Harap ustaz dapat berikan penjelasan.
Bolehkah wanita haid masuk masjid?
JAWAPAN: Hukum yang dipegang oleh kebanyakan ulama seperti Imam Abu Hanifah, Imam Syafie, Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal adalah haram bagi wanita haid duduk di dalam masjid. Pendapat yang mengharuskan pula ialah Imam Dawud Zahiri, Imam Muzani dan Ibn Hazim Zahiri. Dalil mereka yang mengharamkan berdasarkan dua hadis Nabi SAW;
Pertama, hadis Aisyah RA yang maksudnya; Nabi SAW datang ke Masjid Nabawi. Ketika itu muka pintu rumah para sahabat Nabi bersambungan dengan Masjid Nabawi. Baginda lantas bersabda; "Palingkan rumah-rumah kamu ke arah lain daripada masjid." Kemudian baginda memasuki masjid. Orang ramai belum mengambil apa-apa tindakan pun kerana mengharapkan agar turun kepada mereka kelonggaran.
Setelah itu baginda keluar bertemu mereka. Baginda lantas bersabda lagi; "Palingkan rumah-rumah kamu ke arah lain daripada masjid kerana sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid ini untuk perempuan haid dan orang yang berjunub." (Riwayat Abu Dawud RA).
Hadis yang kedua pula daripada Ummu Salamah RA yang maksudnya; Baginda SAW masuk ke pintu gerbang masjid lalu menyeru dengan suara yang lantang; "Sesungguhnya masjid ini tidak halal untuk perempuan haid dan orang yang berjunub." (Riwayat Ibnu Majjah RA).
Kedua-dua hadis tersebut menunjukkan bahawa perempuan haid dan orang yang berjunub lelaki atau perempuan tidak boleh duduk di dalam masjid. Ada pun melintasinya, kebanyakan ulama mengharuskan dengan dua syarat iaitu ada keperluan tertentu dan kedua diyakini masjid tidak dikotori dengan najis darah haid.
akad nikah dalam masjid
Wanita yang sedang haid tidak seharusnya menghadiri majlis akad nikah yang biasa dibuat di ruang solat masjid.Adapun berdasarkan firman Allah dalam surah an-Nisa' ayat 4 yang maksudnya; "(Jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub melainkan orang yang melintasinya."
Adapun dalil-dalil yang mengharuskan adalah pendapat yang mengatakan bahawa hadis daripada Aisyah dan Ummu Salamah tadi adalah lemah. Dengan itu tiada dalil yang kuat yang boleh mengharamkannya.
Rentetan itu, hukum duduk di dalam masjid adalah kembali kepada hukum asal iaitu harus. Hujah yang mengatakan bahawa hadis daripada Aisyah dan Ummu Salamah lemah telah dibantah oleh para ulama kemudian, antaranya Imam Syaukani. Bagi beliau kedua-dua hadis itu berstatus hasan atau sahih, jadi kedua-duanya boleh dijadikan hujah dalam hukum.
Merujuk kepada soalan di atas, wanita haid yang ingin menuntut ilmu di masjid tidak boleh duduk di dalam masjid. Namun, mereka boleh berada di tempat yang tidak dikhususkan untuk solat seperti dewan kuliah yang tidak dijadikan tempat solat, tempat rehat di tingkat bawah masjid, tempat berwuduk dan kawasan persekitaran masjid.
Sekiranya ada yang ingin berpegang dengan pendapat kedua, iaitu yang mengharuskan, mudah-mudahan itulah antara rahmat keluasan fiqh dan perbezaan pendapat dalam fiqh Islam yang dikurniakan oleh Allah ke atas umat Nabi Muhammad
jawapan dalam bentuk video
No comments:
Post a Comment