Berita Trending

Trending

Thursday 24 September 2015

BINCANGKAN !!! Perlukah Kita Menceritakan Kisah Silam Kita Kepada Pasangan?





Saya pernah berzina satu masa dahulu kini telah bertaubat dan akan berkahwin perlukah saya beritahu saya telah berzina satu masa dahulu kepada suami saya? Sekiranya dia bertanya wajibkah saya beritahu perkara tersebut? Adakah dosa-dosa saya terhapus yang membuat amalan fardu sahaja atau saya perlu menunaikan ibadat haji?

Berikut petikan jawapan daripada Ustaz Ahmad Jailani :

Suatu ketika seorang isteri memberitahu kepada saya bahawa beliau telah berzina. Sekarang telah pun bertaubat di atas dosa yang telah beliau lakukan itu. Malangnya timbul pula masalah lain. Beliau berhasrat untuk berterus terang dengan suaminya tentang dosanya itu. 

Dilemanya ialah beliau bimbang jika suaminya mengetahui berkenaan maksiat lampaunya itu, kelak suaminya akan menceraikannya. Sedangkan rumahtangga mereka aman damai, tiada perbalahan. Ada anak yang comel. Beliau juga tidak sanggup diceraikan. 

Namun, hati kecilnya sering rasa bersalah bila memandang wajah suaminya. Soalan yang beliau utarakan kepada saya ialah adakah wajar beliau menyembunyikan dosanya itu atau lebih baik beliau berlaku jujur dengan suaminya dengan memberitahu apa yang telah berlaku dan seterusnya memohon maaf daripada suaminya.

Sebenarnya amat sukar untuk saya memberikan jawapan walaupun saya sudah ada jawapan yang telah tersedia dan telah pun diberikan kepada orang lain sama ada yang menemui saya secara bersemuka, melalui telefon atau saya menyampaikannya melalui kuliah atau ceramah. Ini kerana saya bimbang ia boleh disalah-ertikan.

Jawapan saya kepada beliau ialah JANGAN MENGAKU BERZINA! Kenapa? Pertamanya; Untuk menutup dosa dan aib kita. Kedua; Untuk menggalakkan kita supaya sentiasa mencari Allah SWT dan bertaubat kepadanya dan ketiga; untuk mengelak berlakunya kemudaratan kepada orang yang bertaubat atau ingin bertaubat iaitu kehancuran rumahtangga.

ustaz ahmad jailani


Apabila Ma’iz Al-Aslami (sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya) berjumpa dengan Nabi SAW dan membuat pengakuan zina dengan berkata ” Ya Rasulullah, Inni zanaitu” (sesungguhnya aku telah berzina), baginda berpaling daripada Ma’iz, walaupun Ma’iz mengaku berkali-kali. Sehingga sebahagian fuqaha menjadikan hadith ini sebagai dalil bahawa tidak digalakkan mengaku berzina!

Sheikh Dr. Ali Jum’ah (Mufti Mesir) apabila ditanya fatwa beliau tentang hukum memperbaiki hymen (selaput dara) atau struktur yang berkaitan dengannya bagi gadis-gadis yang pernah terlibat dengan dosa dan noda pada suatu ketika tetapi kemudiannya telah meninggalkan kefasiqan tersebut dan bertaubat, maka beliau menjawab agar ditutup keaiban itu (boleh memperbaiki ‘dara’) kerana menutup keburukan orang mukmin adalah suatu perkara yang terpuji dalam agama. Bukankah terdapat dalil syarak yang menunjukkan bahawa sesiapa yang menutup aib saudaranya di dunia, maka Allah SWT akan menutup aibnya di akhirat kelak! Ini terpakai kepada gadis tersebut sama ada kejadian hitam itu dengan kerelaannya atau paksa.

Imam Nawawi, ulama’ terkenal dalam mazhab Imam Shafie, telah menulis dalam kitab “Raudhah”, dengan katanya, “Sesiapa yang telah terlibat dengan perkara buruk dan dosa, maka disunatkan kepadanya untuk menutup kesalahannya itu.

Berbeza dengan amalan dan sikap masyarakat kita hari ini yang secara tidak langsung (mungkin tak sengaja) berbangga-bangga dengan menceritakan “maksiat” lampaunya. Contohnya, terdapat kenalan saya, yang pernah bercerita bahawa beliau masa muda-muda dulu pernah beberapa kali ke Hatyai, Thailand kerana mencari pelacur! Astaghfirullah, Ya Akhi, bertaubatlah.

Agama kita yang murni ini sebenarnya banyak mengajar kita supaya sentiasa bertaubat dan memperbaharui taubat kepada Allah SWT. Antaranya Firman Allah dalam Surah Al-Tahrim, ayat 8:-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ نُورُهُمْ يَسْعَى بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”

Dengan menutup aib tersebut, harapannya ialah akan menggalakkan manusia bertaubat kepada Allah. Ia juga untuk mengelak daripada berlaku mudarat kepada orang yang bertaubat. Sebagaimana riwayat Imam Malik dalam Al-Muwatta’nya – La darara wa la dirar – Tiada mudarat dan tidak memudaratkan. 

Mungkin ada di kalangan kita yang akan berkata, bukankah ini akan menganiaya lelaki yang menjadi suami atau bakal suami kepada gadis atau isteri tersebut. Jawapan saya ialah masyarakat kita hari ini hanya sibuk dengan kesucian gadis atau isteri sehingga pernah berlaku dalam masyarakat kita suatu adat atau amalan meletakkan kain cadar putih untuk memastikan pengantin perempuan masih dara! Anehnya, masyarakat kita tak pernah sibuk tentang “teruna”nya pihak lelaki. 

Mereka sibuk tentang tak relanya kelapa ditebuk tupai tetapi mereka tak pernah sibuk tentang tupai yang sering menebuk kelapa! Alangkah tidak adilnya masyarakat hari ini. Malah ada yang sanggup berkata, bila diajukan tentang lelaki yang sudah tiada “teruna”, mereka jawab, “Alaa.. budak lelaki biasalaa.. yang perempuan tu gatal menggoda dia tu, siapa suruh”. Malah pernah berlaku dalam kes rogol, si bapa kepada remaja lelaki tersebut, bukannya menyalahkan anaknya yang merogol tetapi menyalahkan si mangsa (gadis) kerana gatal dan miang.

No comments:

Post a Comment