Seperti diceritakan Dr. Abdul Salam Haji Yussof, 49, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia dan pengamal perubatan Darul Syifa.
SAYA terpinga-pinga. Entah bagaimana, saya berada dalam sebuah masjid yang terlalu asing. Masjid itu kecil saja ruangnya. Bangunannya seperti masjid lama zaman dahulu kala di negara-negara Arab.
Aku di mana? hati kecil saya berbisik. Saya memandang sekeliling. Di tepi hujung masjid itu ada sebuah makam. Dan di tepi makam itu duduk seorang lelaki. Bagai ditarik-tarik, kaki saya terus melangkah menuju ke arah lelaki berjubah putih dan berserban itu. Sewaktu berjalan ke arahnya, dada saya berdebar-debar. Dan tiba-tiba dalam hati saya terdetik: "Itu Rasulullah s.a.w.!"
Sampai di tepi makam itu, saya labuhkan punggung duduk bersebelahan lelaki tersebut. Tiada sebarang kata-kata. Hanya segaris senyuman dilemparkan kepada saya.
Waktu itu, hati saya terasa begitu gembira tidak terkata. Bagai bulan jatuh ke riba. Sanubari saya yakin itulah Nabi Muhammad, rasul terakhir junjungan umat Islam.
Saya tatap baginda. Kulitnya putih kekuningan. Hidungnya mancung. Raut wajahnya persis seperti orang-orang Arab dan berjambang di dagu. Rambutnya pula keriting separas bahu. Tidak terlalu muda, tidak pula terlalu tua. Saya anggarkan usia-nya dalam pertengahan 40-an. Riak wajahnya tampak tenang bersahaja.
Tidak lama saya duduk di sebelahnya sebelum azan berkumandang. Lalu dia bangun. Saya pun ikut bangun. Agak tinggi, susuk tubuhnya persis lelaki Arab hingga saya terpaksa mendongak mahu melihat wajah beliau. Tinggi saya hanya sampai ke paras bahunya saja.
Dia berjalan ke tengah masjid untuk mengimamkan solat ketika itu. Saya menuruti langkahnya dari belakang. Ketika itu, saya lihat sudah ada lebih kurang 10 lelaki lain dalam masjid itu yang sudah berdiri di saf pertama, menanti untuk solat berjemaah. Rupa Jemaah lelaki itu pelbagai, ada yang orang Arab, ada juga yang parasnya seperti orang Asia.
Saya masuk ke saf itu di penghujung bahagian kanan. Entah bagaimana, datang seorang jemaah lain menghimpit saya. Lantas saya bertolak ansur ke saf belakang. Lalu, kami solat dengan diimamkan baginda.
Selesai solat, mereka semua duduk berkumpul di depan baginda untuk mendengar kuliahnya. Saya hanya duduk di bahagian belakang sekali kerana sudah tiada ruang di saf paling depan. Ketika itulah baginda terpandang saya. Dia melambai tangannya ke arah saya sambil berkata: "Taal hunna (mari sini)!" Suaranya lembut dan penuh hikmah.
Melihat baginda melambai, saya lalu bangun dan berjalan ke depan lalu duduk berdekatan dengannya. Kemudian, baginda bertanya lagi: "Anta Abdul Salam?"
Saya angguk kepala sambil men-jawab: "Naam (ya)!"
"Anta min Malayzia (kamu dari Malaysia)?" tanya baginda lagi.
"Tabaan (ya)!" jawab saya lagi.
Baginda terus bertanya: "Anta min wilati Kadah (kamu dari wilayah Kedah)?"
Saya agak terkejut mendengar pertanyaan baginda itu. Dalam hati saya tertanya-tanya, bagaimana pula baginda boleh tahu saya asal dari Kedah?
Dan ketika kehairanan itulah, tanpa sempat menjawab soalannya, tiba-tiba saya terjaga dari tidur!
Laungan azan Subuh kedengaran berkumandang saat saya terbangun itu.
Ketika itu, hati saya begitu sebak hingga menitiskan air mata. Seronok, syahdu semuanya bercampur-baur. Walaupun ia sekadar mimpi, namun saya berasakan ia benar-benar berlaku. Tidak putus-putus saya ber-syukur kerana diberi kesempatan merasakan pengalaman bersama junjungan mulia itu.
SELEPAS mengalami mimpi berjumpa Rasulullah s.a.w. itu, saya ada meminta pendapat beberapa orang mengenainya. Antaranya dari ahli akademik yang kurang percaya bahawa orang yang saya temui dalam mimpi itu adalah Baginda Rasulullah s.a.w. dan turut mempersoalkannya apakah bukti yang mengatakan itu Nabi Muhammad?
Saya tanyakan pula pada beberapa ahli ulama terkenal. Jawapan mereka pula, tidak mustahil apabila berlaku pertemuan antara roh dengan roh. Malahan, situasi di dalam mimpi saya itu yang melihat makam, masjid, solat dan kuliah bersama meletakkan suasana itu dalam lingkungan positif dan boleh d i percaya.
Sebenarnya, dalam pertemuan kami di alam mimpi itu, baginda tidak pernah menyatakan bahawa dia adalah Nabi Muhammad. Namun, hati saya sendiri yang terdetik begitu saat kali pertama ternampak beliau sedang duduk di tepi makam tersebut
Malah, makam itu juga adalah makam Rasulullah. Saya yakin kerana dua tahun sebelum mimpi itu, saya pernah menziarahi kota Mekah menunaikan umrah. Ketika itu, saya sedang menuntut di Jordan dalam Jurusan Tarbiyah Islamiyah.
Saya turut mengunjungi makam Rasulullah di Madinah itu. Masih saya ingat, sewaktu hendak menunaikan solat di kawasan Raudah di Masjid Nabawi, tiba-tiba ada jemaah lain yang datang menghimpit saya hingga saya tertolak ke saf belakang.
Tapi, saya tak kisah. Saya tak mahu berebut. Solat di saf belakang pun tidak mengapa. Dan perkara sama berlaku sewaktu dalam mimpi saya itu, ketika saya dihimpit jemaah lain hingga terpaksa mengalah dan beralih ke saf belakang.
Dalam mimpi itu, saya yakin itu adalah makam Rasulullah dan tempat kami berjemaah itu adalah kawasan Raudah. Cuma bezanya, keadaan persekitaran dalam mimpi itu tidak seperti kawasan Masjid Nabawi yang kita lihat pada hari ini. Masjidnya kecil saja dan binaannya seperti zaman dahulu.
Percaya atau tidak, terserah. Namun, hati nurani saya mengatakan itulah dia Nabi Muhammad junjungan kita. Malah, sejak mimpi itu, ia membuat saya mudah sebak dan menangis setiap kali mengenangkan perjuangan Rasulullah.
Kesannya, saya sentiasa belajar untuk mengutamakan orang lain, tolong-menolong dan membantu mereka yang memerlukan. Lagi satu, saya bagai mendapat satu kepuasan yang tidak ternilai. Terasa hidup ini tenang dan seronok walaupun berdepan dengan pelbagai masalah. Kerana saya sudah merasa nikmat bertemu dengan Nabi Muhammad s.a.w.!
Tujuan saya bercerita ini bukanlah untuk riak atau menunjuk-nunjuk tetapi untuk mengajak umat Islam bersama-sama mencintai Rasulullah. Lagipun, baginda adalah sebaik-baik contoh dan teladan, seorang manusia yang dinobatkan sebagai kekasih Allah. Mudah-mudahan kita sentiasa mencintai Rasulullah sebagaimana kita kasih dan cinta kepada Allah.©
No comments:
Post a Comment